"Mencegah Lebih Baik Dari Memerangi"

1 Malaysia Banteras Jenayah

October 4, 2011

UTUSAN MALAYSIA, 17 OGOS 2011, RABU


Gengster sekolah mengamuk, empat pelajar cedera

NOOR Adlena Abu Hassan menunjukkan luka dan calar pada bahagian badan Mohd. Syahiran Syaza Mohd. Abdullah selepas diserang sekumpulan pelajar, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sekumpulan 20 pelajar dari dua sekolah menengah di ibu negara bertindak seperti gengster dengan menyerang dan mencederakan beberapa pelajar sebuah sekolah di Jalan Bukit Nanas di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.15 petang itu, beberapa pelajar mengalami kecederaan termasuk empat daripadanya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Suspek dipercayai gabungan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melawati dan SMK Padang Tembak, Jalan Semarak di sini, membawa senjata berupa kunci pemegang motosikal, cota dan batang besi untuk menyerang pelajar di Sekolah Menengah St. John.
Salah seorang mangsa, Mohd. Syahiran Syaza Mohd. Abdullah, 17, berkata, dia bersama rakan baru keluar dari sekolah untuk pulang ke rumah apabila terserempak dengan sekumpulan 20 pelajar berkenaan.
"Saya dan rakan terdengar orang bercerita ada sekumpulan pelajar dari sekolah lain sedang berkumpul di hadapan sekolah untuk bergaduh.
"Saya meletak kereta di luar kawasan sekolah terpaksa melalui kumpulan itu untuk mengambil kereta dan pada masa sama mengambil kesempatan untuk mengetahui apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di HKL di sini, hari ini.
Menurut pelajar tingkatan lima itu, sebaik sahaja tiba di luar sekolah, dia terdengar kumpulan pelajar itu mengadu motosikal salah seorang rakan mereka disimbah cat oleh pelajar dari sekolahnya.
Selepas itu, katanya, kumpulan pelajar itu terus menyerang dan membelasah secara rambang pelajar dari sekolahnya.
Tambahnya, dia yang diserang menggunakan pemegang kunci motosikal dan besi panjang, tidak dapat melawan ketika dipukul di kepala dan badannya sehingga mengalami luka serta lebam.
"Kami bernasib baik apabila ada anggota polis trafik melalui tempat kejadian, menyebabkan pelajar itu bertempiaran melarikan diri. Salah seorang berjaya ditangkap oleh pelajar sekolah kami dan diserahkan kepada polis," katanya sambil memberitahu mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan sebelum dihantar ke HKL.
Sementara itu, bapa kepada Mohd. Syahiran Syaza, Datuk Mohd. Abdullah Mohd. Mohaidin berkata, dia dan isterinya, Datin Noor Adlena Abu Hassan bergegas ke HKL sebaik sahaja dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai insiden menimpa anak mereka.
Mohd. Abdullah yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Menengah St. John terkejut kerana gejala gengster masih berlaku.
"Kejadian seperti ini amat membimbangkan kerana jika tidak dibendung, ia boleh menimbulkan masalah sosial yang serius," ujarnya.


No comments:

Post a Comment