"Mencegah Lebih Baik Dari Memerangi"

1 Malaysia Banteras Jenayah

October 4, 2011

Mencegah jenayah di kalangan kanak-kanak


Mencegah jenayah di kalangan kanak-kanak

Pendapat

PERANAN ibu bapa mendidik dan memberi kasih sayang dengan sempurna merupakan kunci utama bagi negara untuk mengatasi masalah kerapuhan institusi keluarga termasuk kes jenayah yang melibatkan anggota keluarga. 

Kesempurnaan kasih sayang yang harus diberikan kepada anak-anak bukan bermakna perlunya menambah jam kredit pertemuan antara anak-anak dan ibu bapa tetapi pentingnya waktu berkualiti dan hemah yang ditunjukkan oleh ibu bapa dalam melayan kehendak dan keperluan anak-anak sama ada jasmani atau rohaninya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan bahawa peranan ibu bapa tidak mampu diambil alih oleh mana-mana pihak walaupun kerajaan boleh menyediakan pelbagai program dan prasarana untuk memupuk keharmonian institusi keluarga.

Banyak kejadian jenayah yang melibatkan anak-anak termasuklah yang di bawah umur perlu diperhati dan diperhalusi sebab, gejala dan akibatnya kerana ia harus dibendung di peringkat permulaan. Bahkan satu akta khusus yang membolehkan ibu bapa dihukum apabila anak-anak mereka melakukan jenayah sedang dikaji dalam usaha untuk membendung masalah jenayah di kalangan remaja yang semakin membimbangkan.

Mengaitkan ibu bapa dalam perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anak mereka adalah kerana banyak kajian mendapati punca utama berlakunya jenayah adalah disebabkan faktor ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab. Walaupun hukuman yang akan dikenakan kepada ibu bapa terbabit hanyalah khidmat masyarakat, tetapi sekurang-kurangnya mereka ingat tentang kesan kelonggaran tanggungjawab terhadap anak-anak.

Perbuatan vandalisme, merokok, ponteng sekolah, menunggang dan memandu kenderaan tanpa lesen dan merosakkan harta benda orang lain sering dilakukan oleh para remaja ataupun kanak-kanak terutamanya di kampung-kampung. 

Paling menggerunkan, kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian banyak berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal di bawah umur dan tanpa lesen. Terbaru, seorang murid tahun satu terbunuh akibat dilanggar sebuah motosikal yang ditunggang kanak-kanak berusia 10 tahun di kawasan Taman Perumahan Rakyat, Gong Pasir, Dungun. 

Mangsa, Muhamad Badrie Iskanar Muhamad Husin, berseorangan menunggang basikal, manakala penunggang motosikal bersama rakannya bersiar-siar di kawasan taman perumahan itu. Kemalangan dipercayai berlaku setelah penunggang motosikal tidak nampak kelibat basikal mangsa yang tiba-tiba masuk ke dalam laluannya dari arah bertentangan.

Tidak hairanlah daripada 165,000 kes jenayah yang dicatatkan pada tahun 2005, kira-kira 14,000 kes adalah remaja. Sekiranya perkara ini direnung, maka sudah sampai masanya kita mengikut jejak langkah Britain yang telah melaksanakan Akta Kelakuan Anti sosial sejak 2003 lagi. Peruntukan dalam akta tersebut menyebut bahawa bukan sahaja ibu bapa yang boleh dihukum tetapi premis-premis hiburan yang membenarkan remaja bawah umur memasuki premis mereka turut boleh diambil tindakan.

Berbalik kepada soal tanggungjawab dan tanggungan ibu bapa terhadap salah laku anak-anak, harus diingat bahawa amanah memelihara dan mendidik anak-anak wajar dipikul oleh ibu bapa, bukannya orang lain. Cuma dugaannya, ada ibu bapa yang berperanan sebaik-baiknya tetapi pengaruh sosial mengatasi segala, kerana itulah setiap ibu bapa perlu memastikan anak-anak masing-masing dididik dengan baik sehingga tiada siapa pun yang boleh mempengaruhi sesuatu kejahatan kepada orang lain. 

Sekiranya amanah itu tidak terjaga dengan sebaik-baiknya, maka murka Yang Esa akan memungkinkan apa sahaja berlaku, hatta pemegang amanah ini kadangkala dicedera atau dibunuh oleh amanah mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment